JoM = KiTa PEnGYu

Thursday, February 6, 2014

BELASUNGKAWA BUATMU - MENDIANG CIKGU DADOI IREGAI -



Saat kaki melangkah masuk ke bilik guru tingkatan 6 pagi tadi… mata cepat benar tertancap ke tempat duduk ‘dia’,  kosong dan lengang !! selalunya ‘dia’ antara insan terawal yang dtg… 



Hati cuba menidakkan peristiwa semalam… tapi mana mungkin kerna itu realiti yang perlu dihadapi.  Segalanya begitu pantas kalaupun dapat diundur peristiwa semalam mampukah kita untuk menidakkan suratan takdir???

Berbicara lagi pasal kematian.  Hati jadi sebak… ‘dia’ pergi meninggalkan kami sekelip mata… dan bukan di rumah bukan juga di kampung bersama keluarga tercinta. Insan berdedikasi sepertinya Tuhan sudah takdirkan untuk dia pergi di saat berjuang di lubok ilmu.  Maha besar Sang Pencipta kerana meninggalkan sebuah kenangan abadi utk kami patri sebagai kenangan tentang REBAHNYA SEORANG GURU juga di medan ilmu

Sumpah !! berbohonglah aku kalau tidak terkesan di saat pemergiaannya.  Dia insan yang banyak membuka peluang kepadaku dlm bidang kokurikulum.. kerana ‘dia’ aku terjebak dalam dunia kejurulatihan di  pusat kokurikulum, kerana ‘dia’ sehingga kini aku diberi kepercayaan memegang gelaran Guru Kokurikulum Tingkatan Enam.  Dia membuka laluan utk aku mewarnai kehidupan dlm dunia pendidikan.. apatah lagi dia teman suka duka saat bertapa di KAMAR KOKURIKULUM SMK KIDURONG sejak tahun 2010 dan persahabatan itu kami lanjutkan lagi saat sama-sama dipindahkan ke bilik guru tingkatan enam pada tahun 2012 sehingga semalam 5 Februari 2014.   

Dia teman bergelak tawa tika ada cerita lucu menggamit rasa dan dia teman bergadoh tatkala tiba saat lawan bicara … dan sesungguhnya air mata itu menjadi sangat murah tika ini… andai aku bariskan lagi siapa ‘dia’ dlm hidup kami warga SMK Kidurong.  Hanya rimbunan terima kasih dpt kulakarkan,  TERIMA KASIH kerana pernah hadir menyerikan hari2 kami di SMK KIDURONG.  Biarkan kami sematkan segala kenangan bersama sehingga penghujung usia.  Izinkan kami bercerita kepada generasi akan datang tentang ruginya mereka kehilangan seorang pendidik yang terbilang dan penuh dedikasi.!!!

Peristiwa semalam buat aku rasa sangat kerdil.  Saat melihat dia rebah terbaring di bilik guru.. saat kritikal unit kecemasan memberikan pertolongan ...Apatah lagi saat melihat senyuman yg terukir di bibir anak bongsu ‘dia’ yang bertanyakan ‘daddy’ di hospital… ‘dia’ tinggalkan anak kecil yang tidak mengerti apa-apa… jauh di sudut hatiku terselit doa agar anak ini dirahmati kehidupannya. Meninggalkan balu yg pasti inginkan dia menemaninya hingga ke musim senja.  Tapi aku juga perlu akur sesungguhnya benar kematian itu tidak mengenal siapa.. tua ataupun muda, Miskin ataupun kaya. Pangkat ataupun darjat.  Sesungguhnya mati itu PASTI cuma yg membezakannya nanti cara utk kita mengakhiri kehidupan ini... Ya Allah panjangkanlah usia kami yang tinggal di alam fana ini... kiranya, kami masih belum puas meneguk nikmat dunia yang Engkau pinjamkan.. amin

Buatmu Mendiang Cikgu Dadoi Iregai
Kuabadikan puisi ini untukmu
Sebagai tanda engkau abadi dalam ingatan

“BICARANYA”

Bicaranya tentang kerjaya
Sering membuat aku terpana

Kerana guru sepertinya
Punya semangat membara
Yang tidak punah
Dimamah usia

Katanya ...
Menjadi guru ‘ada-ada saja’
Dan ‘bila-bila masa’
Tetapi tidak untuk ‘siapa saja’
Kerna
Yang menjadi guru itu
Harus yg sentiasa bersedia

Katanya
Menjadi guru itu
Harus selalu redha
Setiap saat amal ibadat itu dikira
Bukan oleh manusia
Tetapi
Oleh Sang Pencipta

Katanya lagi
Yang bernama guru itu
Harus selalu menepati masa
Kerana
Setiap waktu yang tersia itu
Membunuh generasi yang tidak berdosa
Menghancurkan impian anak bangsa

Katanya
yang paling tajam menyucuk raga
Jangan terleka wahai guru
Setiap detik yang sedang berlari
Adalah punca rezeki yang kita cari
Takut mendarah daging
Dalam tubuh anak isteri

Detik ini
Bicaranya tentang kerjaya
Tiada lagi
Mungkin selama ini
kami tidak sedari
Antara lembut bicaranya
Dengan tajam tusukan kata
Ada pesanan yang tersirat
Untuk kami rungkaikan
Utk kami genggamkan
Sebagai penerus perjalanan
menjadi guru berdedikasi
sepertinya

Hari ini aku mengerti
Perginya guru berdedikasi
Sangat dirasai
Dan ditangisi
Dengan rasa kehilangan yang abadi  !!


___________________________________________________

Kepadamu Mendiang Cikgu Dadoi Iregai
Kutitipkan salam kemaafan.  Andai ada bicara terkasar nada
Moga tenang di sana.  Moga kami mampu menjadi guru sehebat ‘dia’
-Salam Takziah-

... dan bermulalah hari-hari aku menggantikan tugas-tugas kokurikulumnya.  Ya Allah jadikan aku sekuat dan seikhlas ‘dia’. Amin .....










No comments:


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...